Hari Raya Idilfitri : Yang Perlu &
Yang Jangan DiLakukan
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Bulan
Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar
serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan
RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau
amat sedih dengan pemergiannya.
Sebaliknya
orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya
pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih
malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang
sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.
Seolah-olah
individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin
memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya telah mendapat keputusan
‘gagal', malah telah berjaya terkena doa laknat oleh Malaikat Jibrail
untuk mendapat 'kecelakaan', merbahayalah imannya pada bulan-bulan yang
mendatang. Nau'zubillah.
Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka
Masalah
pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta
maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara
maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung
untuk mengetahuinya.
"waste of time!!" katanya lagi.
Padahal
di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT
mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai
Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).
Malang
bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan
Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.
Sebagaimana kata-kata hukama :-
الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ
Ertinya
: "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya
sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan
barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret
orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar
untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang
dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)
BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?
Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.
Jawapannya,
bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri
membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu
mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.
Nabi
SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu
Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang
menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Mukmin
sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t
atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di
bulan Ramadhan.
Sudah
tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun
penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan
dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya
"Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa
buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat
At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami :
perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain
mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan,
bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan
Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng"
(Riwayat Al-Bukhari).
Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.
MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?
Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?.
Secara
ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan
kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan
dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-
1)
Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya,
berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu
neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang
akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
2)
Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan
malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith
Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
3)
Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan
hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan
pemergian Ramadhan.
4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)
Hasil
dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih
dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan
dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.
TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI
Bagi
sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan
anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat
jam 5-6 petang setiap hari.
Rancangan
yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti
siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di
jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti
bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya.
Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda
sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan
menikmatinya.
Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya.
Dan
sebagaimana sedinya ibubapa En Jazimin dan isterinya berpisah dengan
buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin buat selama-lamanya.
Demikianlah
para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini
amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.
RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA
Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama
besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari
raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia
berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh
Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil
fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya
umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya
sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar
Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni
melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri,
beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk
mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada
masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai
maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda
SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah
menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya
: Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan
aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab
: Ya, taqabbalallahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan
di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak
dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan
mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan
di dalam Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia
berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW
biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari
raya" (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
Nabi pernah bersabda :
مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه
Ertinya
: Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan
ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung
(mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan
; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika
berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat
para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila
melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar
; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika
berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat
di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur
secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan
abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita
; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan
lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan
mahram.
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur
; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang
lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan
jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai
dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga
dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.
7) Dosa Bertempoh ;
Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah
memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai
contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal
bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat
berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh
berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh
kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya
jauh-jauh.
Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.
Selamat Hari Raya Idil Fitri
"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"
Sekian dahulu,
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
*Sharing is Caring
3 comments:
perkongsian yang baik
info yang baik ni..selamat hari raya buat ko beb....moga di rahmati..
info yg sgt bergune..
SELAMAT HARI RAYAAAAAA
Post a Comment